Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Wednesday, 2 November 2011

Tren baru Komuter beroperasi Jun tahun depan



BATU GAJAH: Semua 38 set Unit Gandaan Elektrik (EMU) yang dipesan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun depan. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata semuanya dijangka beroperasi secara berperingkat bermula bulan depan sehingga Jun 2012.

"Set pertama tren EMU ini sudah tiba di sini pada 22 September lalu manakala set kedua tiba pada 22 Oktober," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Keretapi Malaysia, di sini hari ini.
Katanya, semua set yang mengandungi enam koc tersebut ditempah dari Zhuzhou Electric Locomotives (ZELC) China dengan kos RM1.89 bilion dan perjanjian pembelian dimeterai pada 19 Mei 2010. 

"Dengan penggunaan koc baru itu nanti dijangka peningkatan pengguna perkhidmatan kepada 200,000 orang berbanding 95,000 pada masa ini. 

"Apabila beroperasi kelak, KTMB dapat menjimatkan masa menunggu dari 30 minit kepada 10 minit. Koc ini juga akan menjadi aset terbaru KTMB," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Keretapi Malaysia di sini. 

Beliau berkata, koc baru itu akan diguna untuk laluan Tanjung Malim, Perak ke Sungai Gadut, Senawang di Negeri Sembilan dan dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang. 
Katanya, kedua-dua set yang tiba itu ditempatkan di Akademi KTMB untuk menjalani sesi pengujian dan pentauliahan sebelum dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

"Langkah mendapatkan tren berkenaan adalah bagi meningkatkan kapasiti KTM Komuter dan selari dengan inisiatif bidang Keberhasilan Utama Negara untuk penambahbaikan sektor pengangkutan awam," katanya. - BERNAMA 

Penjelasan Khairul Fahmi Tentang Isu minum arak





Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek yang sebelum ini dikatakan memutuskan pertunangan dengan teman wanitanya akibat kehadiran orang ketiga, sekali lagi terbabit dalam kontroversi apabila gambarnya bersama beberapa wanita seksi di restoran eksklusif disiarkan dalam blog dan portal hiburan.

Khairul Fahmi berkata, gambarnya bersama kenalan, Dahlia Teck dan beberapa rakan wanita itu dirakam ketika beliau menghadiri majlis hari jadi di sebuah restoran makanan Itali di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini, tetapi menafikan mengambil minuman keras walaupun minuman itu ada dihidangkan seperti dalam gambar berkenaan.


“Saya tidak sentuh (arak) dan muka saya ketika itu merah kerana suasana dalam itu (parti) panas dan sesak, menyebabkan muka saya jadi begitu. Dalam parti itu, saya duduk dengan orang yang saya kenal dan ada juga saya tidak kenal langsung. Jadi, saya tidak tahu siapa yang mengambil gambar itu atau siapakah empunya sebenar gambar itu.
“Bila saya tengok gambar itu pagi tadi (semalam), selepas dimaklumkan seorang rakan, saya agak terkejut. Tetapi, saya ingin menegaskan yang saya tidak ada kaitan dengan benda itu (arak) seperti dilihat dalam gambar,” katanya ketika dihubungi ketika membuat pemeriksaan kesihatan di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Beliau mengulas mengenai gambarnya bersama Dahlia serta dua wanita lain, manakala foto kedua menunjukkan enam wanita termasuk Dahlia bergambar di tempat yang sama.
Mengulas lanjut, Apek berkata dia sentiasa menjadi perhatian umum, selain ramai yang mahu bergambar bersamanya.“Ke mana saya pergi, sudah pasti akan bertemu peminat dan mereka mahu merakam gambar. Pada parti hari jadi berkenaan, saya tidak terkecuali menjadi perhatian dan ada yang mengambil gambar,” katanya.
Bagaimanapun, Khairul Fahmi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang menjejaskan prestasi permainan dan persiapannya menjelang Sukan Sea 2011, di Indonesia, namun berjanji akan menjelaskannya lebih lanjut selepas kejohanan itu.-BeritaHarian



JAKARTA – Setelah bernikah selama enam bulan, seorang lelaki, Umar baru mengetahui bahawa isterinya itu ialah seorang lelaki tulen, lapor akhbar Sumut Pos dua hari lepas.
Umar berkenalan dengan isterinya itu, Fransiska Anatasya Octaviany menerusiFacebook setelah tertarik dengan kecantikan wajahnya.
“Semasa mereka bertemu, lelaki yang mengaku wanita itu memakai tudung,” kata seorang pegawai polis di Jatiasih, Bekasi, Darmawan Karosekali kelmarin.
Namun, setelah enam bulan bernikah, Umar melihat terdapat sesuatu yang mencurigakan pada tubuh isterinya itu kerana dia kelihatan tegap.
“Selepas diperiksa (oleh Umar), ternyata dia (Fransiska) memang laki-laki,” kata Darmawan.
Umar yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis. “Buat masa ini, kita sudah tahan (lelaki yang menyamar wanita itu) dan kesnya sedang disiasat,” kata Darmawan.
Pasangan itu berkahwin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri setelah jiran-jiran Umar mengadu dia tinggal bersama Fransiska selama seminggu. Perbuatan tersebut tidak elok dipandang masyarakat dan agama.
Jiran-jirannya itu meminta mereka berkahwin dan pasangan itu bersetuju.
Jelas Darmawan, Fransiska memalsukan kad pengenalan dirinya, manakala dua orang rakannya menyamar menjadi ibu bapanya semasa akad nikah.
Jika didapati bersalah, Fransiska akan dihukum penjara tujuh tahun kerana menyamar menjadi lelaki. – Agensi

Saturday, 29 October 2011

Rumah RM6.6 billion (U$1.8 billion), rumah termahal di dunia 2011



MUMBAI- MEMILIKI sebuah rumah mewah yang selesa sudah tentu menjadi idaman setiap insan, apatah lagi jika rumah tersebut dibina berdasarkan imaginasi dan idea pemilik itu sendiri. Namun buat Antilla, sebuah rumah di Altamount Road, Mumbai, India yang dibina dengan kos keseluruhan bernilai RM6.6 bilion (AS$2 bilion) sekali gus telah diiktiraf sebagai rumah termahal di dunia.

Rumah idaman itu dibina oleh pasangan jutawan dari India, Mukesh Ambani dan Nita Ambani. Istana milik peneraju Reliance Industries itu yang juga merupakan lelaki kelima terkaya di dunia (dinobatkan oleh laman web Forbes) dengan anggaran aset bernilai RM142 bilion (AS$43 bilion) memerlukan kira-kira 600 pekerja bagi membersih dan menyelenggara kediaman mewah tersebut.
Tanggungjawab membina rumah impian milik pasangan tersebut telah diamanahkan sepenuhnya kepada firma arkitek Perkins Wills dan Hirsch Bedner yang sebelum ini diakui kebolehan mereka melalui pembangunan Hotel Mandarin Oriental di Dallas dan Los Angeles.
Proses pembinaan rumah tersebut bermula pada penghujung 2006 dan siap untuk diduduki pada September 2008 di atas sebidang tanah berkeluasan 4939.81 meter persegi. Ia menampilkan struktur seni bina yang dibentuk menerusi prinsip Vaastu yang boleh disamakan dengan bentuk feng shui dalam masyarakat China. Melalui prinsip itu, ia memberikan aliran ruang udara yang sihat berpandukan susun atur yang strategik pada bilik, objek dan kemasan barangan yang terdapat padanya.
Merujuk pelan, bangunan ini menawarkan ketinggian 173.12 meter bersamaan ketinggian bangunan 60 tingkat. Namun, disebabkan Antilla memperuntukkan 27 tingkat, ini bermakna setiap arasnya dilengkapi siling berketinggian lebih tiga meter daripada ukuran sepatutnya. Antilla turut dilengkapi dengan sebuah lobi yang menghimpunkan sembilan buah lif, beberapa bilik penyimpanan serta ruang bersantai yang terletak di aras tujuh selepas enam tingkat di bawahnya dijadikan sebagai tempat meletak kereta dan boleh memuatkan 170 buah kenderaan dalam satu masa.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan dewan tari menari berhias siling kristal, ruangan menonton yang dilengkapi dengan monitor LCD lengkap dengan sistem pembesar suara seluas sebuah pentas pertunjukan.  Di tingkat lapan pula mengandungi sebuah pusat hiburan lengkap mini pawagam dengan kapasiti 50 orang pada satu masa. Di atasnya pula, disediakan ‘ruang udara’ berfungsi sebagai bilik kawalan untuk helikopter mendarat. Antara ruangan istimewa lain yang terdapat di dalam Antilla ialah ruangan kesihatan yang dijadikan sebagai aras khusus untuk bersukan dan beriadah. Aras itu juga menyediakan bilik berais khusus untuk kegunaan penghuni dan tetamu yang ingin lari dari bahang cuaca panas kota Mumbai.
Menariknya, bilik sejuk ini juga menawarkan pengalaman berada di negara empat musim apabila disertakan hujan dan salji buatan manusia. Kayu berbentuk huruf ‘W’ yang dipasangkan untuk menyokong dua pertiga bahagian atas bangunan diilhamkan daripada sebuah atrium terbuka untuk bahagian taman dan halaman rumah..
Elemen paling rumit bagi proses pembinaan rumah itu ialah untuk merealisasikan landskap hidroponik dan pokok bersifat kekal di dalam sebuah rumah. Ia boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga yang membolehkan Antilla mengubah suasana kediaman pada musim panas kepada dingin manakala ketika cuaca sejuk dapat menyamankan tubuh.


p/s: DAH BANYAK SGT DUIT.... MEH SEDEKAH KAT AQ NI...

ASTRO "macam2 ada"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASTRO "macam2 ada"